Friday, June 11, 2010

mungkin aku ini anak seorang yang dibunuh. ini teori pakcik keretapi. dengan hujung kuku yang hitam, kulit tapak tangan yang kelihatan mengeras dan kelam muka seakan dibakar saban waktu oleh terik mentari, puntung rokok yang tinggal separuh terus dibuang. lama mata pakcik keretapi meliar sebelum akhirnya merenung dalam bola mata aku. dan pakcik keretapi mengangguk beberapa kali. tanpa suara. ini teori pakcik keretapi.

tren saya dah sampai pakcik.

mata pakcik keretapi langsung singgah pada tren yang mendekat. dan pakcik keretapi mengangguk beberapa kali dan kali ini renungannya lama pada susuk tubuh yang mahu segera menghilang di celah orang ramai.

ini teori pakcik keretapi.

Thursday, June 10, 2010

bosan. bosan. bosan.
ulang sampai 3 kali tapi masih tak bosan untuk mengulangnya lagi.
bosan. bosan. bosan.

mari kita cuba gunakan kata-kata sopan tanpa manja.

saya bosan melakukan kerja yang sama setiap hari. setiap pagi, bangun dari tidur, saya bosan untuk bersiap ke tempat kerja kerana saya tahu saya akan buat perkara yang bosan sekali lagi. dan lagi.

kalau duduk lama di sini akan seperti mental bermasalah tahu?
anak kecil, jangan pandang rendah terhadap orang dewasa.
pari-pari hitam dan putih. sila senyap jangan bising di tepi telinga.
awak tak cakap ada masa terhad juga kan?

Monday, June 7, 2010

aku sedang mencari alasan untuk tidak duduk dan berdiam sahaja sambil mendongak ke langit. aku perlu bangun dan mengait bintang-bintang agar nanti bulan tinggal sendirian langsung dengan rela hati ia jatuh ke ribaan ku. tapi bintang wajar diperlakukan dengan bagaimana? ini satu kejadian paling awangan bila bercahaya. sama juga seperti hati. lalu hati selalu diperlakukan dengan bagaimana selama ini? rasanya wajar aku ke dalam dan berbaring sambil mendongak ke siling. mungkin nanti pusingan laju kipas menghantar jawapan terus ke dalam mimpi tanpa perantara lagi.

Friday, June 4, 2010

aku tahu engkau sedang terpaling rawan saat ini. bertahun mimpi itu terbina dan sepintas mimpi itu sendiri memperkosa setiap inci jiwamu.

rakus.

engkau diratah ketika begitu hampir ke garis sempadan.

rupa-rupanya separuh masa pertama belum tamat.

rupa-rupanya, cinta, atas nama apa pun belum layak untuk disandarkan harapan.

menangis saja semahumu. esakkan saja semua sakit yang menggila. raungkan saja setiap kenangan yang tersimpan. lepaskan saja semua itu hari ini.

kerana hari esok kau harus bangkit sendiri. kau akan berdiri lagi.

dan esok itu bukan keesokan hari. ambil saja seberapa lama masa yang kau perlu. selama manapun yang kau mahu..

asal saja kau percaya, suatu hari nanti semua ini bukan apa-apa. dan seperti baru semalam kau tinggalkan pembaringanmu.

aku dan teman-teman akan selalu ada di setiap semalam, hari ini dan hari esok.

rupa-rupanya, separuh masa pertama belum tamat lagi yasmin farhana omar.

Tuesday, June 1, 2010

hari ini, ISRAEL masih lagi berkuasa. apa yang barunya tentang itu?

aku semakin hilang percaya pada cinta. mungkin kerana kuasa perosaknya besar seperti ISRAEL.

kenapa aku sentiasa berfikir seperti akan tewas?

ISRAEL dan cinta, apa kamu cuma mahu menang?

kalau nyawa Palestin terbaca ini, pasti dia nekad menghayun pedang. Kerana di sini ada satu suara menyamakan musuhnya dengan cinta.

HARA-KIRI!!!

Tuesday, May 25, 2010

di sana..
ada lelaki besi menikus di sebalik gitar.
ada senyum leret berselindung di dalam lagu.
ada cinta berahi dijaja murah-murah.
ada hati ranap tak sengaja dipijak-pijak.

di sini..
aku diam-diam menjenguk kepala.
diam-diam memanjat doa.
diam-diam membaca mentera.
bagilah aku masuk.
tolonglah.

Monday, May 24, 2010

kehadapan alia yang berada di kejauhan,

ketahuilah bahawa entri ini adalah hasil paksaan emosi kau yang tidak menentu itu.

ketahuilah juga yang aku ini tak berasa punya keperluan untuk menulis di sini sejak beberapa waktu lepas. sepertinya, segala rasa yang terwujud itu telah terperosok jauh ke satu sudut gelap, hamis dan kotor. makanya, telah aku putuskan tiada nyawa harus dibenarkan masuk ke sana. aku kira ini wajar..

tapi, kau tetap alia. sengaja atau tidak, bayangmu selalu menuntun aku ke sana tanpa belas. mungkin saja kemanusiaan aku telah pudar. mungkin saja keterbukaan kau terlalu mengesankan.

entri ini sekadar memenuhi tuntutan. sekadar mengingatkan yang aku sekali lagi seperti berbogel di hadapan kalian.

campak baju kau ke sini untuk aku pakai.