Friday, April 23, 2010

sekarang aku dah malas nak berkira-kira cukup atau tidak duit. biarlah. apa nak jadi pun. takpelah kalau lepas ni dah tak boleh keluar walaupun hanya untuk minum dengan kawan-kawan sebab duit tak cukup. sekarang yang penting adalah ini. hantar je ke nursing home. biar aku dan mama ikat perut. asalkan hari-hari yang kami lalui tidak tegang macam dulu-dulu. atau macam baru-baru ini. berkali-kali setiap minggu tingkap pecah, cermin pecah, kipas patah, barang-barang kena sepak terajang. sampaikan mama yang tengah solat dalam bilik dengan pintu berkunci dan tingkap bertutup pun dikacaunya. pintu ditendang dan kemudian menghulur parang dari tingkap yang berjaya dibuka. halusinasi dan delusional yang dia pegang kuat. sampaikan kisah dulu-dulu jadi bukti padanya. dengan tafsiran sendiri. keras dan hanya tahu menyalahkan. sampai sesuatu yang langsung tak pernah terjadi disemat kemas sebagai bukti menyokong tuduhan sendiri. apa nak jadi jadilah. pernah pula apa yang aku rancang jadi kenyataankan. kami bukannya akan jatuh tersembam muka di tanah terus. kami tak apa-apa pun. hidup dan bernafas macam biasa. cuma kadang-kadang udara macam tak mahu cukup. itu pun kadang-kadang.

Wednesday, April 7, 2010









aku ni selalu saja tidak stabil di dalam. dan aku ini selalu saja berlagak stabil di luar. ini semua kerana aku ada rakan-rakan susah dan senang. ini tribute untuk semua yang tanpa sedar jadi perisai yang melindungi aku dari virus-virus jahat dunia. cukup aku tau mereka ada di dunia lain. cukup. mereka tak perlu tau teori dalam otak aku. mereka tak perlu diberitahu tentang formula apa yang aku cuba cari. jumpa, berbual-bual kosong, makan-makan, gelak-gelak. "oh..diorang ada nanti."

ada lagi rakan-rakan yang superhuman tapi takde dalam gambar sebab upload dari pc office. intan suraya - mira - izan - ajal
baru teringat wawa yang waktu aku jobless dan pokai telah meminjamkan duit untuk survive tanpa banyak soal.
bosanlah. takde perkara yang selesai. semuanya diulang-ulang. aku dah sampai tahap benci pada semua ini. macam orang bodoh yang cuma mengikut jalan terbentang di depan mata. kalau kita kembali seri atau mungkin 0-0 dah buat aku cukup gembira. tapi aku yakin selepas ini semua berulang kembali dengan sejarah memberat di angka-angka kecil dan besar yang tidak stabil. kepala aku pun semakin berat dengan taakulan masa depan yang aku mimpikan sendiri. kemudian lagi bermimpi watak orang yang pernah penting suatu masa dulu. hubungan yang konon terputus kerana salah yang terbeban di bahuku. padahal aku cuma simpan segala rahsia kisah yang terjadi. tutup dan pergi tanpa menoleh lagi. ini hanya membuktikan yang aku ini sebenarnya terkandas di dalam ruang masa yang sudah bertahun-tahun lepas berlalu. biar bagaimanapun kaki berusaha menginjak laju pada realiti, rupa-rupanya awan-awan dulu masih mahu bernaung di atas kepala aku. aku ni memang bodoh mungkin. sama ada sengaja atau tidak, aku telah membiar roh yang terkandung dalam tubuh ini untuk berhenti membesar. berhenti menjadi dewasa. berhenti untuk belajar dari dunia. berhentilah diri dari mengeluh keadaan sendiri. ia cuma memuntahkan hitam dari hidup yang selama ini kau ikutkan. yang selama ini kau diamkan kelemahan dan kekurangannya.

Thursday, April 1, 2010

apa nak buat sekarang? atau apa yang patut dibuat sekarang tuhan?
tak tahu perasaan apa yang patut saya rasa sekarang. entah..ini mungkin noktah untuk serabut di malam-malam hari. ini juga mula untuk sesuatu yang mungkin lebih teruk lagi. sejak jaring yang memisahkan dua dunia ini tiada, yang selalu saya rasakan lebih kepada penat. doa yang sama terucap saban malam. mohon sekerasnya agar ajalnya diawalkan. melihat mama cuba untuk tidur malam tadi dengan mengetap bibir dan keluhan yang entah berapa kali.1 april juga hari lahir mama.permudahkanlah perjalanan mama dunia akhirat tuhan. mama baru sahaja telefon ketika saya sedang menaip ini. katanya, cuma nak meluahkan dan jangan beratkan kepala dengan semua ini..
saya memang tak tahu rasa apa yang patut ada sekarang. yang pasti bukan gembira. bukan juga sedih.

Monday, March 29, 2010

hari ni sangat pelik. tapi fun. dan full of surprises. saya suka watak saya hari ini.

hujung minggu agak penat. penuh dengan aktiviti dari pagi sampai malam.

Monday, March 8, 2010

bila manusia mahu kembali jadi sampah
bukan hanya membiarkan
malah saya sendiri dengan seluruh kudrat ini menghantar ke stesen di garis mula
tanpa sepatah kata semangat
sekalipun saya tahu selepas ini tidurnya adalah di bawah jambatan
atau mungkin di atas tanah perkuburan seperti yang pernah didiami beberapa waktu dulu
yang saya tahu cuma berkata-kata dalam hati
kemudian malam tadi bila dia berkali-kali cuba untuk mengajak bicara atau apa saja
yang saya akurkan cuma pada mata yang mengantuk dan nafsu yang mahu terlena
membiar manusia itu sendiri entah di sudut dunia mana
pagi ini, kononnya dia di hutan
tanpa wang tanpa semangat hidup
yang ada cuma keinginan untuk jadi sampah semula
hidup seperti dulu-dulu
bila hitam dan kelam tidak sedikit pun mampu menggugat tenang jiwa
bila keadaan sekeliling seumpama lukisan abstrak yang statik terpamer
tunggu saja nanti ke mana kisah ini akan pergi..