Friday, June 25, 2010

hari ini tak gembira. tiada sebab tertentu. cuma tak gembira. dan aku berfikir tentang banyak perkara. salah satunya ya..kamu.

ternyata aku memang idealis tegar. kalau betul ada seorang untuk aku di dunia ini, tunjukkan lah diri. aku sudah bosan tertunggu-tunggu seperti hidup aku yang biasa-biasa itu. menunggu pukul 5.30 petang, menunggu hujung minggu, menunggu gaji masuk di awal bulan, menunggu hari akan terjumpa kembali dvd friends season 10 yang hilang, menunggu musim durian, menunggu tawaran kerja yang aku idamkan, menunggu duit membukit sekelip mata dalam bank, menunggu mimpi jadi kenyataan dan menunggu kau datang ke dalam aku. itu pun kalau benar engkau memang ada untuk aku.

sebetulnya, aku sendiri tak tahu aku memang mencari atau tidak. atau wajar aku mulakan pencarian sekarang? selama ini yang aku lakukan cuma mengikut apa yang di depan mata. dan pilihan-pilihan yang aku buat telah menempatkan aku di sini. berkeadaan begini. seperti yang berdiri di depan kamu sekarang.

ini adalah entri yang pathetic.

Thursday, June 24, 2010

kelmarin, 2 kewujudan malaikat maut dipercayai menjalankan misinya di kawasan rumah aku. yang pertama, ditugaskan untuk mengambil nyawa seorang lelaki lingkungan 60-an. yang kedua, sasarannya adalah nyawa yang juga 60-an kalau mengikut kiraan teori manusia. petang semalam, aku sempat menjenguk sasaran kedua malaikat maut. sempat menyentuh badannya yang sudah tak mampu lagi bergerak. dia cuma menoleh kepada aku sedikit dari sisi. mungkin untuk menggerakkan lehernya terlalu banyak sangat menyakitkan.
aku pulang malam itu dengan fikiran yang kadang-kadang menerawang tentang dia. pagi tadi sempat aku menguruskan tubuh yang terkulai kaku dan mulai mengeras itu. selesai semua urusan untuk pengebumian aku terus ke tempat kerja.
selamat kembali ke sana kucingku Mee-nyo. semoga aman tanpa kucing putih gangster mengacau lagi.

Wednesday, June 23, 2010

setelah beberapa waktu menteri utama memerankan wajah diplomasi, setelah berpucuk-pucuk surat layang memenuhi ruang matanya, sekarang dia mula tunjuk sikap berlembut. sidang akhbar tertutup yang dianjurkan cuma dihadiri wartawan dari laman sosial Facebook.

begitupun, langsung gambar Yusuf dicetak buat tatapan pembaca koran, sekalian pengutus surat-surat layang tergerak merencana sesuatu. semua mahu membongkar sisi sulit menteri utama mereka.

Yusuf molek sahaja di dalam penjara, bahkan mendapat sahabat saling berkongsi mimpi segala.

zulaikha tidak mampu lagi membendung pelangi yang kian memancar dalam hatinya. lalu dia sendiri berkomplot dengan wartawan laman sosial Facebook supaya rencana ini mengaitkan dirinya secara langsung.

Pegawai K, salah seorang pengutus surat layang mula mengatur langkah. ruangan komen pembaca jadi medan untuknya mengumpan lawan.

setelah duduk lama-lama menilik nasib semalam, biarpun tanpa monsun yang menghilang, bintik-bintik merah di pipi mula mereda dengan sukarela. semalam, lewat diskusi dengan pegawai K, lewat bintik-bintik merah di pipi mereda dengan sukarela, khabarnya kesihatan pula jadi ancaman buat monsun. akibat bersengkang mata memerah otak menggagah tenaga berterusan, monsun kalah dengan virus duka yang terkumpul lalu merubah suhu badannya jadi turun naik. langkah yang disusun rapi jadi terencat sebentar. tapi cuma sebentar saja.

baca:
yusuf - perasaan lelaki kepada perempuan dan/atau sebaliknya
menteri utama - lelaki yang kononnya punya perasaan terhadap zulaikha
zulaikha - perempuan yang kononnya adalah jawapan untuk perasaan kosong lelaki
pengutus surat-surat layang - rakan-rakan gadis berbintik merah di pipi
monsun - pari-pari tercipta dari angin atas nama cinta
pegawai K - rakan gadis berbintik merah yang kononnya (mungkin juga self-claimed) punya kuasa psikik

Thursday, June 17, 2010

di masa-masa yang saya kira sulit, akan terdengar suara-suara mereka, seolah-olah berteriak, berbual kosong atau mungkin berkata-kata sendiri. apa ini yang namanya halusinasi? atau sebenarnya, mereka yang tidak lagi tinggal di dalam rumah itu punya dunia sendiri. lalu kadang-kadang, di masa-masa yang saya kira sulit, dunia saya dan dunia mereka bertembung sekejap-sekejap. tapi mereka itu hidup. apa perlu saya berhalusinasi tentang mereka yang hidup? apa perlunya saya berbahas tentang mereka di ruang ini?
ada khabar kurang enak dari monsun tentang kamu. katanya kau telah ditawan oleh menteri utama dalam penjara. kononnya semua angkara zulaikha. ketika monsun ceritakan ini, aku langsung tertawa geli hati. kau itu tidak akan pernah seperti yusuf. tidak akan pernah menjadi yusuf. apa agaknya yang mereka nampak pada wajahnya, tanya aku pada monsun usai tawa mati tiba-tiba. monsun cuma sempat menjawab dengan keluhan di pipi ku sebelum hilang di dalam udara.

pipi aku kemudian memerah perlahan-lahan. ada bintik-bintik kecil memekar sedikit-sedikit. sakitnya kadang-kadang tapi kebasnya bukan kepalang. kebasnya bukan kepalang.

sungguh mereka telah nampak yusuf di wajahmu? sungguh mataku telah buta untuk seorang yusuf? atau apa sebetulnya khabar ini?

Friday, June 11, 2010

aku sudah letih memakai baju idealist. membahu beban sarat terhimpun impian murni realist masa depan yang kononnya bermula dengan mengaplikasi propaganda segigih dan setegar mungkin. semua itu cuma buat mengisi masa belaka.
mungkin aku ini anak seorang yang dibunuh. ini teori pakcik keretapi. dengan hujung kuku yang hitam, kulit tapak tangan yang kelihatan mengeras dan kelam muka seakan dibakar saban waktu oleh terik mentari, puntung rokok yang tinggal separuh terus dibuang. lama mata pakcik keretapi meliar sebelum akhirnya merenung dalam bola mata aku. dan pakcik keretapi mengangguk beberapa kali. tanpa suara. ini teori pakcik keretapi.

tren saya dah sampai pakcik.

mata pakcik keretapi langsung singgah pada tren yang mendekat. dan pakcik keretapi mengangguk beberapa kali dan kali ini renungannya lama pada susuk tubuh yang mahu segera menghilang di celah orang ramai.

ini teori pakcik keretapi.

Thursday, June 10, 2010

bosan. bosan. bosan.
ulang sampai 3 kali tapi masih tak bosan untuk mengulangnya lagi.
bosan. bosan. bosan.

mari kita cuba gunakan kata-kata sopan tanpa manja.

saya bosan melakukan kerja yang sama setiap hari. setiap pagi, bangun dari tidur, saya bosan untuk bersiap ke tempat kerja kerana saya tahu saya akan buat perkara yang bosan sekali lagi. dan lagi.

kalau duduk lama di sini akan seperti mental bermasalah tahu?
anak kecil, jangan pandang rendah terhadap orang dewasa.
pari-pari hitam dan putih. sila senyap jangan bising di tepi telinga.
awak tak cakap ada masa terhad juga kan?

Monday, June 7, 2010

aku sedang mencari alasan untuk tidak duduk dan berdiam sahaja sambil mendongak ke langit. aku perlu bangun dan mengait bintang-bintang agar nanti bulan tinggal sendirian langsung dengan rela hati ia jatuh ke ribaan ku. tapi bintang wajar diperlakukan dengan bagaimana? ini satu kejadian paling awangan bila bercahaya. sama juga seperti hati. lalu hati selalu diperlakukan dengan bagaimana selama ini? rasanya wajar aku ke dalam dan berbaring sambil mendongak ke siling. mungkin nanti pusingan laju kipas menghantar jawapan terus ke dalam mimpi tanpa perantara lagi.

Friday, June 4, 2010

aku tahu engkau sedang terpaling rawan saat ini. bertahun mimpi itu terbina dan sepintas mimpi itu sendiri memperkosa setiap inci jiwamu.

rakus.

engkau diratah ketika begitu hampir ke garis sempadan.

rupa-rupanya separuh masa pertama belum tamat.

rupa-rupanya, cinta, atas nama apa pun belum layak untuk disandarkan harapan.

menangis saja semahumu. esakkan saja semua sakit yang menggila. raungkan saja setiap kenangan yang tersimpan. lepaskan saja semua itu hari ini.

kerana hari esok kau harus bangkit sendiri. kau akan berdiri lagi.

dan esok itu bukan keesokan hari. ambil saja seberapa lama masa yang kau perlu. selama manapun yang kau mahu..

asal saja kau percaya, suatu hari nanti semua ini bukan apa-apa. dan seperti baru semalam kau tinggalkan pembaringanmu.

aku dan teman-teman akan selalu ada di setiap semalam, hari ini dan hari esok.

rupa-rupanya, separuh masa pertama belum tamat lagi yasmin farhana omar.

Tuesday, June 1, 2010

hari ini, ISRAEL masih lagi berkuasa. apa yang barunya tentang itu?

aku semakin hilang percaya pada cinta. mungkin kerana kuasa perosaknya besar seperti ISRAEL.

kenapa aku sentiasa berfikir seperti akan tewas?

ISRAEL dan cinta, apa kamu cuma mahu menang?

kalau nyawa Palestin terbaca ini, pasti dia nekad menghayun pedang. Kerana di sini ada satu suara menyamakan musuhnya dengan cinta.

HARA-KIRI!!!